JAKARTA: Maybank Indonesia sedang mempertimbangkan penggunaan ringgit Malaysia untuk fasa seterusnya dalam perkhidmatan kiriman wang pantas yang baru dilancarkan, dengan Malaysia sudah disenaraikan sebagai antara destinasi berpotensi ketika bank itu memperluas keupayaan pemindahan wang antarabangsa.

Ketua Perbankan Digital Maybank Indonesia, Charles Budiman, berkata perkhidmatan kiriman wang pantas itu diperkenalkan secara berperingkat, dengan pilihan awal mata wang yang disokong adalah berdasarkan permintaan pelanggan sedia ada.

"Ia berada dalam senarai kami, lebih-lebih lagi memandangkan kami juga merupakan syarikat Malaysia," katanya kepada Bernama ketika ditanya sama ada Malaysia mungkin menjadi antara negara seterusnya yang dimasukkan ke dalam perkhidmatan berkenaan.