IPOH: Jumlah mangsa terjejas akibat ribut di beberapa kawasan sekitar daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) meningkat kepada 55 orang daripada 20 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 47 mangsa daripada 19 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan mangsa terbabit ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Matang.

"Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Changkat Baru Matang, Kampung Teluk Kertam, Kampung Melawati dan Kampung Hujung Matang," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan dijangka berlaku di daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim malam ini.