KUALA LUMPUR: Seorang pemandu kereta elektrik (EV) BYD Seal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tiga pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak pe­rempuan, Sabtu lalu.

Tertuduh, Raeven Goh Wey Haur, 24, yang bekerja sebagai pegawai bank membuat penga­kuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.

Mengikut pertuduhan pertama, dia sebagai pemandu EV jenis BYD Seal didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Asiah Ahmad Syahir, 5.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun atau maksimum 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000 serta boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu.