Kajang: "Saya sudah menganggapnya seperti bapa kandung sendiri dan kerana itu saya memanggilnya ayah," kata Muhammad Haffiz Mangsor yang berkongsi kisahnya dijaga dan dibesarkan oleh Mohamad Shahfizan Mohamed Jiva.

Menurut Muhammad Haffiz, 22, dia menjadi anak yatim ketika berusia sembilan tahun apabila bapanya meninggal dunia akibat angin ahmar.

Hasil sokongan Shah, 35, Muhammad Haffiz yang juga anak kedua daripada tiga beradik itu berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading dan kini bergelar penuntut Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Melayu di Universiti Putra Malaysia dekat Serdang, Selangor.

Berkongsi kisahnya, menurutnya, dia dihantar ke sebuah rumah anak yatim sejak berusia 11 tahun dan sejak awal lagi berada di bawah jagaan Shah yang ketika itu berkhidmat sebagai sukarelawan.