BESUT: Bahan yang sering dianggap tidak bernilai diberi nafas baharu apabila seorang usahawan muda dari Kampung Raja di sini, menginovasikan kertas terpakai menjadi blok batik bagi mengurangkan kos pengeluaran pengusaha.
Ahmad Taqiuddin Muhammad, 31, berkata, inovasi itu dibangunkan selepas lima tahun menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan blok batik yang lebih murah, mudah dibuat dan mampu memenuhi keperluan pengusaha batik.
Katanya, pengalaman kira-kira 10 tahun dalam pembuatan blok dan lukisan batik membantunya melakukan pelbagai eksperimen dalam menghasilkan blok kertas berkenaan.
“Penggunaan kertas sebagai bahan utama bukan sahaja mengurangkan kos pembuatan, malah memudahkan proses menghasilkan blok berbanding kaedah konvensional yang memerlukan peralatan serta bahan khusus.






