KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengemukakan pendirian lebih signifikan berhubung jerebu merentas sempadan pada Mesyuarat Ke-21 Jawatankuasa dan Persidangan Negara-Negara Pihak (COP) kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP), di Vietnam, Disember ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, Malaysia juga akan meneruskan rundingan berhubung cadangan Diplomasi Sains dan Dana Jerebu Mampan yang diketengahkan sebelum ini.

"Malaysia menggunakan mekanisme ASEAN dan hubungan dua hala secara aktif bagi memastikan tindakan pencegahan serta pemadaman kebakaran di punca dapat dilaksanakan dengan segera," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen, hari ini.