Bermula dari sebuah bilik kecil yang hanya mampu memuatkan tiga orang, usaha Aqmal Ariff Azizan, 29, untuk membimbing masyarakat membaca al-Quran bukanlah mudah, apatah lagi apabila dia turut berdepan pelbagai cabaran termasuk gegantung promosi kelas mengaji yang dipasang sering hilang.
Lebih mencabar, usaha itu pada awalnya tidak mendapat sokongan keluarga yang mahu dia memilih kerjaya lebih terjamin, termasuk menyertai sektor kerajaan.
Bagaimanapun, anak bongsu daripada empat beradik itu tetap dengan pilihannya untuk meneruskan usaha berkenaan menerusi Asim Learn, walaupun terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri dan bermula dengan kemudahan serba sederhana.
"Pada awalnya, keluarga menolak kerana ibu dan ayah saya juga berniaga. Mereka tahu perniagaan ada masa naik dan turun. Ibu mahu saya bekerja dalam kerajaan, misalnya sebagai pegawai agama.









