PENYANYI popular Indonesia, Yuni Shara membuat kejutan manis apabila melancarkan versi baharu lagu balada malar segar, Gerimis Mengundang.

Di tangan Yuni, karya ikonik ciptaan komposer Saari Amri yang pernah dipopularkan Slam bersama vokalisnya Zamani sekitar 1995 itu diberi sentuhan nafas baharu lebih segar.

Vokal lunak dan penuh emosi penyanyi berusia 54 tahun itu berjaya menghidupkan semula jiwa karya klasik berkenaan tanpa memadamkan identiti asal nyanyian kumpulan legenda tanah air itu.

Peluncuran lagu itu dihujani ribuan pujian orang ramai termasuk peminat dari Malaysia yang berterima kasih kerana tidak mengubah susunan muzik asal.