BUKAN mudah mempertahankan legasi muzik dakwah selama hampir tiga dekad ketika arus muzik semasa ligat berubah dan kumpulan baharu silih berganti.

Bagi kumpulan nasyid tersohor negara, Rabbani, mengekalkan kedudukan relevan bukanlah satu perjalanan mudah tanpa sebarang onak dan duri. Kini terus utuh digalas tujuh orang anggota iaitu Ustaz Azadan Abdul Aziz, Mohd. Asri Ubaidullah, Zulkiflee Azman, Rithauddeen Yaakob, Afendi Shahbudin, Nazrul Azhar Tamrin dan Ahmad Shafie, mereka membuktikan kecekalan menjadi kunci kelangsungan legasi yang diasaskan sejak Mac 1997.

Malah, sepanjang 30 tahun mengabdikan diri dalam persada seni tempatan, pelbagai ranjau terpaksa ditempuh termasuk perselisihan faham, pemergian tonggak utama sehinggalah menjadi mangsa penipuan bernilai jutaan ringgit.