KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu percaya dengan seorang lelaki mengaku ustaz kononnya mampu menggandakan wang, simpanan RM42,580 seorang wanita warga emas lesap begitu sahaja.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisoner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pesara berusia 71 tahun itu terlihat iklan daripada seorang ‘ustaz’ kononnya mampu menggandakan wang di laman Facebook pada 1.15 tengah hari, 7 Oktober lalu.

“Mangsa yang tertarik telah meninggalkan nombor telefon bimbitnya di ruangan komen sebelum dihubungi suspek yang menggelarkan dirinya ‘ustaz’.

“Suspek kemudiannya meminta wanita warga itu menghubungi individu lain yang didakwa kononnya tuan gurunya bagi menyertai skim gandaan wang kononnya menawarkan pulangan RM300,000,” katanya di sini hari ini.