BRUSSELS: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berusaha mendapatkan sokongan sekutu Eropah dalam sidang kemuncak di Brussels pada Jumaat, ketika ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS) memuncak susulan keputusan Kyiv meneruskan serangan terhadap kilang penapisan minyak Russia.

Zelensky sebelum ini menyatakan Ukraine tidak lagi akan mematuhi tuntutan Presiden AS, Donald Trump, supaya menghentikan serangan terhadap kemudahan minyak Russia.

Hubungan antara Kyiv dan Washington semakin tegang sejak minggu lalu selepas Trump melonggarkan sekatan terhadap Russia sebagai pertukaran kepada tindakan Moscow membekalkan sejumlah besar diesel ke pasaran global.

Ketegangan itu turut meningkat susulan gangguan terhadap sistem satelit kritikal yang dibekalkan AS, sekali gus menjejaskan keupayaan tentera Ukraine untuk menangkis serangan pengeboman intensif Russia.