Kuala Lumpur: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa negara anggota ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei bersatu mengambil langkah konkrit bagi menangani isu jerebu rentas sempadan yang terus mengancam kesihatan jutaan penduduk di rantau ini.
Presidennya, Dr L Sivanesan berkata, pihak terbabit perlu menguatkuasakan perjanjian jerebu ASEAN dengan menetapkan tempoh pelaksanaan yang jelas, memastikan komitmen dipatuhi dan melaporkan kemajuan secara terbuka kepada orang ramai.
"Perjanjian serantau mesti menghasilkan keputusan yang bukan sekadar kekal sebagai janji di atas kertas," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sivanesan berkata, pihak terbabit juga perlu menyiasat dan mendakwa pihak bertanggungjawab terhadap pembakaran haram termasuk syarikat yang mempunyai kaitan dengan Malaysia.









