KUALA LUMPUR: ASEAN perlu memastikan perjanjian perdagangan pelbagai hala ditambah baik dengan mengambil kira perbezaan tahap pembangunan ekonomi serta kepentingan strategik setiap negara anggota.

Ia bagi memastikan integrasi ekonomi serantau dapat diperkukuh, kata Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pengerusi Pusat Inisiatif Masa Depan Asia Tenggara (SEAFIC), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, dalam usaha mencapai kesepakatan dalam ASEAN cabaran yang perlu dihadapi adalah apabila negara anggota mempunyai tahap keterbukaan pasaran dan keutamaan ekonomi yang berbeza.

Katanya, walaupun wujud konsensus yang menjadi asas kerjasama ASEAN, tetapi perjanjian perdagangan pelbagai hala yang dicapai tidak semestinya mempunyai skop dan tahap keterbukaan yang sama seperti perjanjian dua hala.