Kuala Lumpur: Kebakaran di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kangkar Tebrau, Johor, semalam, menjadi punca gangguan bekalan elektrik selama lebih satu jam di beberapa kawasan sekitar Johor Bahru termasuk Bandar Dato Onn, Taman Daya, Kempas, Bandar Ulu Tiram, Desa Tebrau dan Johor Jaya.

TNB dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua pekerja teknikal syarikat itu turut cedera dalam kejadian yang berlaku jam 6.03 petang semalam.

"Susulan kejadian itu, TNB menggerakkan pasukan teknikal bagi melaksanakan usaha pemulihan bekalan elektrik secara berperingkat.

"Hasil tindakan pantas pasukan teknikal, bekalan elektrik di kawasan terjejas berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh 77 minit," katanya.