Sungai Petani: SSTMI B, Highlander A, ALFA Cafe MIBJ D dan Perak JR mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Utara selepas melepasi halangan suku akhir, sekali gus menempah tiket automatik ke Grand Final, pada perlawanan yang berlangsung di Arena of Sport, di sini, sebentar tadi.

Kejayaan itu menyaksikan keempat-empat pasukan berkenaan bakal beraksi di Grand Final yang dijadualkan berlangsung pada 28 dan 29 November ini di Akademi Sepak Takraw Malaysia.

SSTMI B paling awal menempah slot apabila menewaskan AJST 15-13, 15-9 untuk memastikan tempat dalam kelompok empat pasukan terbaik, sekali gus meneruskan cabaran mereka dalam kejohanan itu.

Highlander A pula menampilkan aksi meyakinkan apabila menundukkan SSTMI A 15-11, 15-10 bagi mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.