Ipoh: Pelaksanaan fasa kedua projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Perak akan menumpukan kepada pembangunan infrastruktur telekomunikasi membabitkan pembinaan dan kerja naik taraf lebih 30 tapak pemancar di perkampungan Orang Asli terpilih di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi berkata, langkah itu penting bagi memastikan masyarakat Orang Asli menikmati capaian Internet yang berkualiti di penempatan masing-masing.

"Liputan komunikasi yang lebih baik dan stabil di penempatan Orang Asli ini penting demi memastikan komuniti terbabit tidak terpinggir daripada arus pemodenan serta pemerkasaan ekonomi digital negara," katanya kepada Bernama.