KUALA LUMPUR: Kejayaan anak sulung pelakon Rita Rudaini, iaitu Airit Rayyan Rizqin, 17, meraih Anugerah Tokoh Kokurikulum Terbaik pada majlis konvokesyen Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar (SUBES) menjadi kebanggaan buat pelakon jelita itu.
Menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Rita turut menitipkan ucapan menyentuh hati buat anaknya yang bakal menamatkan perjalanan lima tahun di sekolah berasrama penuh.
Menerusi perkongsian media sosial, Rita mengimbas kembali detik menghantar Rayyan ke asrama, termasuk saat anaknya itu berbisik kepada ibu saudaranya yang dipanggil Mak Ngah, meluahkan hasrat untuk pulang ke rumah.
Rita mengakui naluri seorang ibu ketika itu mahu membawa Rayyan pulang, namun, memilih membiarkan anaknya terus bertahan kerana memahami segala persiapan dan pengorbanan yang sudah dilakukan.








