Hong Kong: Polis Hong Kong melahirkan kebimbangan susulan lebih 110 laporan transaksi kad kredit tanpa kebenaran selepas prapesanan model baharu iPhone dibuka dengan pihak berkuasa mendakwa Apple tidak mengaktifkan ciri keselamatan tambahan bagi mencegah penipuan berulang.

Pihak berkuasa mengesahkan penduduk mula melaporkan transaksi kad kredit mencurigakan bagi model boleh lipat iPhone Duo selepas prapesanan dalam talian dibuka pada jam 8 malam, Jumaat.

Memetik laporan South China Morning Post, transaksi tertinggi yang dilaporkan bernilai 229,788 dolar Hong Kong (kira-kira RM120,000) iaitu bersamaan harga kira-kira 12 unit iPhone Duo.

Menurut polis, lebih 110 laporan itu membabitkan transaksi keseluruhan bernilai 4.6 juta dolar Hong Kong (kira-kira RM2.4 juta) menggunakan kad kredit yang dikeluarkan oleh pelbagai bank.