PUTRAJAYA – Tindakan rakyat tempatan menyewakan kenderaan kepada warga asing akan menyebabkan urusan tuntutan insurans akan mengalami masalah besar sekiranya berlaku kemalangan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly berkata, keadaan itu berpotensi menyebabkan pihak terlibat terpaksa menanggung sendiri kerugian atau kos berkaitan, tertakluk kepada terma dan syarat polisi insurans berkenaan.

“Justeru, pemilik kenderaan warga tempatan tidak boleh sewenang-wenangnya menyerahkan atau menyewakan kenderaan kepada individu yang tidak mempunyai lesen memandu sah,” tegasnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai dakwaan netizen yang mendedahkan ramai komuniti Rohingya memandu tanpa lesen di kawasan kampung, Aedy berkata, perkara itu berada dalam radar JPJ.