London: Pengurus Manchester United, Michael Carrick menganggap keputusan seri 1-1 menentang Leeds United sebagai permulaan baharu buat pasukannya, meskipun kemarau kemenangan mereka berterusan.

United gagal menamatkan rekod tanpa kemenangan selepas penyerang Leeds, Dominic Calvert-Lewin menyamakan kedudukan pada babak kedua, membatalkan jaringan pembukaan Bryan Mbeumo dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Elland Road, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan United kini gagal mencatat kemenangan dalam enam perlawanan berturut-turut merentasi semua pertandingan, sekali gus menambah tekanan terhadap Carrick yang sedang berdepan kritikan.

Bagaimanapun, pengendali itu melihat perkembangan positif dalam persembahan anak buahnya, lima hari selepas kekalahan 0-2 kepada Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara yang mencetuskan kritikan Lisandro Martinez terhadap pengurusan kelab berhubung kekurangan pelaburan pada jendela perpindahan musim panas.