PERPISAHAN tidak semestinya berakar daripada pengkhianatan atau kehadiran orang ketiga.

Adakalanya, dua hati terpaksa mengalah kepada takdir meskipun masih menyimpan rasa, meninggalkan sebuah kisah cinta hampir sempurna tanpa penghujung bersama.

Mengangkat kisah penuh makna itu, penyanyi Ara Johari kembali menyentuh emosi pendengar menerusi single terbaharu berjudul Kisah Yang Hampir Sempurna — sebuah balada sarat penghayatan meneruskan identitinya dalam genre galau.

Pemilik nama sebenar Nurfarrah Izzatie Johari itu mengakui lagu ciptaan komposer tempatan, Aepul Roza dan Daus Drama Band itu sudah berada dalam simpanannya lebih setahun sebelum dipilih untuk menemui pendengar pada waktu dirasakan paling tepat.