Shah Alam: UiTM Holdings Sdn Bhd (UiTM Holdings) menyasarkan keuntungan sehingga RM90 juta mulai tahun depan menerusi pelan pemulihan dan rancangan perniagaan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Sasaran itu semakin hampir dicapai selepas sayap pelaburan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berjaya mengurangkan kerugian bulanan hampir 90 peratus daripada RM1.5 juta sebulan tahun lalu kepada kira-kira RM145,000 berdasarkan akaun terbaharu bagi Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UiTM Holdings, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pengurangan kerugian itu dicapai menerusi pelbagai langkah penstrukturan semula tadbir urus dan kewangan strategik sejak beliau mengambil alih pengurusan syarikat pada Januari tahun lalu.