KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama pada Isnin selepas anggaran awal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2026 mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh daripada jangkaan iaitu 5.3 peratus.

Pada 8 pagi ringgit tidak banyak berubah berbanding dolar AS iaitu pada 4.0790/0855 berbanding 4.0795/0835 semasa ditutup pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pertumbuhan ekonomi yang lebih teguh daripada jangkaan dijangka mengukuhkan jangkaan mengenai kemungkinan normalisasi dasar monetari.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam anggaran awal KDNK yang dikeluarkan pada Jumaat melaporkan bahawa ekonomi berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga, selepas mencatatkan pertumbuhan 6.0 peratus pada suku sebelumnya.