AYER KEROH: Penyertaan lebih 4,600 pelajar, meningkat 50 peratus berbanding tahun lalu, menjadikan Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® 2026 mencatat rekod tertinggi sepanjang penganjurannya yang kini memasuki edisi ke-29.
Lapan sekolah terbaik dari seluruh negara melayakkan diri ke peringkat akhir kebangsaan di Melaka untuk merebut gelaran juara kategori menengah rendah dan menengah atas.
Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI® Malaysia dan Singapura, Ivy Tan Link Cheh, berkata peningkatan penyertaan membuktikan sambutan positif pelajar terhadap pertandingan yang bukan sahaja mengetengahkan kemahiran memasak, malah mengembangkan kreativiti dan potensi diri.
Katanya, pertandingan dengan sokongan dan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan (KPM) itu turut menjadi platform membentuk generasi muda yang lebih yakin, kreatif serta mempunyai pengetahuan berkaitan pemakanan dan kemahiran memasak.








