SEMPORNA: Isu warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial bagi menjalankan kegiatan ekonomi secara haram di Semporna telah dibawa dan dibincangkan Kabinet Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata, Kerajaan Persekutuan memandang serius situasi berkenaan dan tindakan penguatkuasaan sedang digerakkan secara aktif melalui operasi bersepadu, khususnya di pulau-pulau tumpuan pelancong di daerah berkenaan.
“Perkara ini sedang diambil tindakan, ada operasi-operasi yang diadakan terutama dari segi perniagaan di pulau-pulau.
“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut membincangkan perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kesiapsiagaan kawalan sempadan di Pulau Ligitan, Pulau Sipadan dan Pulau Mabul di sini hari ini.










