TAWAU: Seorang penuntut kolej berusia 18 tahun direman tiga hari bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan bawah umur dalam kejadian dua tahun lalu.

Majistret Don Stiwin Malanjum membenarkan penuntut kolej itu direman sehingga 23 Oktober selepas mendengar permohonan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Nurhafizah Hussin mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, terbongkar susulan laporan polis dibuat pegawai perubatan Hospital Tawau selepas melakukan pemeriksaan terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun terbabit pada 1 Oktober lalu.

Polis kemudiannya menahan pemuda berkenaan sekitar jam 11.15 malam tadi sebelum dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut.