KUBANG PASU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menerima sebanyak 52 aduan pengguna berkaitan petrol disyaki bercampur air setakat ini selain memeriksa 39 buah stesen minyak terlibat.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, setakat ini sebanyak 38 sampel minyak daripada stesen berkenaan diambil bagi siasatan lanjut.
“Kami menerima sebanyak 52 aduan, memeriksa 39 stesen minyak dan mengambil 38 sampel. Semua sampel yang diambil dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.
“Memandangkan perkara ini melibatkan rangkaian bekalan yang luas, kami turut memaklumkan kepada Ibu Pejabat KPDN untuk penyelarasan kerana bekalan itu bukan hanya melibatkan satu pihak sahaja,” katanya pada sidang akhbar kes penyelewengan diesel, hari ini.








