CYBERJAYA: Meta mengakui berlaku kesilapan teknikal pada sistemnya sehingga aktiviti pengguna WhatsApp yang sah disalah anggap sebagai pelanggaran peraturan, sekali gus menjejaskan lebih separuh kes dalam kumpulan pertama yang dikemukakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima maklum balas Meta berhubung isu penggantungan akaun WhatsApp yang telah dikemukakan kepada syarikat berkenaan sebelum ini.
"Menurut Meta, kesilapan teknikal berkenaan telah ditangani pada penghujung September dan akaun sah yang terjejas telah dipulihkan secara proaktif, termasuk sebahagian akaun yang belum mengemukakan rayuan.
"Meta turut mengesahkan bahawa tiada perubahan dibuat terhadap dasar penguatkuasaan atau Terma Perkhidmatan WhatsApp," menurut kenyataan itu.








