LOS ANGELES: Google melancarkan satelit prototaip ke orbit pada Khamis lalu untuk menilai bagaimana unit pemprosesan tensor atau TPU-nya beroperasi di angkasa, lapor Xinhua.

Satelit prototaip yang membawa empat TPU Google itu dilancarkan dalam misi bersama Transporter-18 SpaceX.

Menurut Google, pasukannya telah mengesahkan hubungan dengan satelit itu dan ia beroperasi seperti yang dijangkakan.

Pelancaran itu adalah langkah pertama Projek Suncatcher, iaitu projek penyelidikan jangka panjang yang dijalankan dengan kerjasama Planet Labs PBC untuk meneroka sama ada infrastruktur pembelajaran mesin boleh diadakan di angkasa lepas.

Dalam beberapa minggu mendatang, Google akan mengumpulkan data dalam orbit mengenai cara TPU terbabit mengendalikan tekanan fizikal, sinaran dan haba di angkasa.