Kuala Lumpur: Kegagalan menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik pada saingan Zon Utara tidak mematahkan semangat Jelutong Pantai untuk kembali menguji kemampuan apabila berhasrat memburu slot ke Grand Final Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 menerusi saingan Zon Timur, bulan depan.
Malah, pasukan berpangkalan di Pulau Pinang itu mahu bangkit dengan persiapan lebih rapi apabila merancang menghantar dua pasukan bagi menghadapi saingan yang dijangka lebih sengit di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu pada 20 dan 21 November ini.
Pengurus pasukan Jelutong Pantai, Izhar Yusof berkata, penyertaan kali ini bakal menyaksikan mereka tampil dengan persediaan lebih baik berbanding ketika beraksi di Sungai Petani bagi Zon Utara pada 16 dan 17 Oktober lalu, selain meletakkan sasaran untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir.








