KUALA LUMPUR: Jepun akan membekalkan Malaysia dengan Sistem Penangkis Pesawat Tanpa Pemandu (C-UAS) bernilai kira-kira RM40 juta bagi memperkukuh keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menangani ancaman dron.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bantuan itu dimeteraikan hari ini menerusi perjanjian di bawah program Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) Jepun 2026 bersama Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi, sempena lawatan kerja beliau ke negara berkenaan.

"Malaysia telah menerima bantuan di bawah program ini sejak 2023, dengan agihan terdahulu merangkumi 14 kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), tujuh bot penyelamat, dan dua lori pembersih jalan bernilai RM12.63 juta.

"Di bawah program OSA 2025 pula, Jepun memperuntukkan kira-kira RM80 juta kepada Malaysia, termasuk sebuah kapal sokongan untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dijangka diserahkan pada 2029, serta peralatan bagi Pasukan Pemerhati Asean (AOT)," katanya.