Kuala Lumpur: Enam pulau utama di negara ini termasuk Pulau Redang mengalami tekanan persekitaran yang serius dan kemerosotan kesihatan ekosistem terumbu karang akibat fenomena kelunturan.

Pulau berkenaan adalah Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas dan Pulau Tenggol di Terengganu, Pulau Tioman di Pahang serta Pulau Payar di Kedah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pemantauan menunjukkan penurunan peratusan litupan karang hidup (LCC) dan peningkatan kadar kematian karang selepas fasa kelunturan akibat peningkatan suhu permukaan laut yang mencapai 32°C hingga 35°C.

Katanya, kementeriannya melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) memandang serius isu itu kerana terumbu karang berperanan penting sebagai habitat, kawasan perlindungan dan pembiakan hidupan marin serta menyokong kelestarian sumber perikanan negara.