PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengukur baju di badan sendiri dalam urusan memilih calon ketua jurulatih Harimau Malaya, dengan kemampuan kewangan badan induk itu menjadi antara faktor utama yang perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, FAM perlu menilai kedudukan kewangan semasa sebelum memutuskan sama ada mahu mendapatkan khidmat jurulatih berprofil tinggi dari luar negara atau memilih calon yang lebih sesuai dengan kemampuan sedia ada.
Menurut Zulakbal, pemilihan jurulatih dari negara maju sememangnya boleh dipertimbangkan, namun perkara itu perlu disertai kemampuan kewangan yang kukuh bagi menampung kos gaji pasukan kejurulatihan yang dibawa, kontrak dan komitmen berkaitan sepanjang tempoh perkhidmatan.








