BEKAS pengurus Manchester United, Erik ten Hag mendakwa Cristiano Ronaldo mengecewakan pasukan dan dirinya sendiri ketika mereka bekerjasama di Old Trafford pada 2022.Ten Hag berkata, beliau pada awalnya merancang untuk menjadikan Ronaldo sebahagian daripada projeknya selepas dilantik mengendalikan The Red Devils pada tahun berkenaan, namun sikap dan komitmen penyerang Portugal itu menimbulkan masalah.Hubungan kedua-duanya mula retak apabila Ronaldo enggan masuk sebagai pemain gantian ketika United menewaskan Tottenham Hotspur pada Oktober 2022. Tindakan itu menyebabkan penyerang berkenaan digugurkan daripada skuad bagi perlawanan menentang Chelsea selepas itu.Ronaldo kemudian mencetuskan kontroversi menerusi temu bual televisyen apabila mendakwa dirinya dikhianati kelab dan tidak menghormati Ten Hag. Kontraknya bersama United akhirnya ditamatkan secara persetujuan bersama pada November tahun sama."Dia mengecewakan pasukan dan mengecewakan saya kerana kami merancang untuknya. Jelas sekali, dia antara pemain terbaik dalam sejarah bola sepak. Saya sangat menghormatinya."Namun, ketika itu, sebagai pengurus, saya perlu membuat keputusan secara rasional dan mengekalkan pemain yang saya kagumi dalam pasukan," katanya dalam temu bual bersama The Athletic.Ten Hag turut mendakwa Ronaldo beberapa kali menarik diri daripada sesi latihan serta gagal menyempurnakan larian yang diarahkan selepas United dibelasah Brentford 0-4 pada awal musim 2022/2023.Menurutnya, beliau sudah berulang kali menegur Ronaldo supaya meningkatkan pergerakan dan kesediaan fizikal bagi membolehkannya berada di posisi terbaik untuk menjaringkan gol."Saya berdepan dengannya mengenai perkara itu. Saya selalu berkata, ‘Ronnie, semua orang mahu membantu kamu berada di posisi yang betul, tetapi jika kamu tidak mampu masuk ke dalam kotak penalti, kamu tidak boleh menjaringkan gol.’"Dia tidak mampu melakukannya. Salah untuk mengatakan saya mengharapkannya melakukan tekanan terhadap lawan sehingga keletihan. Hakikatnya, dia tidak mampu melakukannya."Dia tidak berlari ketika kami menguasai bola mahupun ketika tidak menguasainya. Sebabnya, dia tidak mempersiapkan dirinya," katanya.Dalam temu bual sama, Ten Hag turut meluahkan kekecewaan terhadap pengurusan tertinggi United yang didakwanya gagal menunaikan beberapa janji sepanjang tempoh perkhidmatannya sebelum dipecat pada Oktober 2024.Pengendali dari Belanda itu disingkirkan beberapa bulan selepas membimbing United menjuarai Piala FA menerusi kemenangan mengejut ke atas Manchester City pada aksi final, ketika kelab berkenaan bergelut di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris (EPL).Ten Hag mendakwa beliau berasa dimalukan apabila pihak kelab menjual pemain tengah Scotland, Scott McTominay ke Napoli tanpa persetujuannya, meskipun beliau sudah menyatakan hasrat untuk mengekalkan pemain itu."Saya memberitahu mereka supaya tidak menjual Scott McTominay, tetapi akhirnya mereka tetap menjualnya. Sudah tentu saya berasa sangat malu dan kecewa.