RANTAU PANJANG – “Kami menghampirinya kerana sangka dia mahu serah diri, sebaliknya dia menghayunkan parang dan melibas lengan kiri saya.”
Demikian perkongsian seorang anggota polis berpangkat koperal yang cedera diserang ketika melakukan operasi rutin membanteras dadah di Kampung Lalang Pepuyu di Tanah Merah pada 17 Oktober lalu.
Anggota berusia 37 tahun itu berkata, kejadian berlaku ketika dia menyertai sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah di lokasi berkenaan sebagai sebahagian operasi khas membanteras penyalahgunaan dadah.
“Semasa kami tiba, suspek ada di rumah bersama ibunya. Suspek berada dalam bilik. Dia yang bersenjatakan parang segera melarikan diri menuju jalan utama sebaik menyedari kehadiran kami,” katanya.










