PETALING JAYA – Belum pun genap usia 20 tahun, pelakon Mhia Firdaus sudah melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelakon Melayu pertama menerima pencalonan kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Golden Horse Taiwan ke-63.
Ibarat ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi, pencapaian membanggakan cucu kepada seniwati Datuk Fauziah Nawi itu diraih menerusi watak gadis pekak dalam filem kerjasama Malaysia dan Taiwan, SAYANG SAYANG, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni anak muda berkenaan.
Mhia yang juga anak kepada pelakon Farah Ahmad itu mengakui masih terkedu dengan pengiktirafan tersebut, apatah lagi pencalonan dalam festival filem berprestij berkenaan tidak pernah terlintas dalam fikirannya.










