KUANTAN: Seorang pensyarah kerugian RM269,993 akibat diperdaya individu menyamar sebagai polis, dalam kes penipuan 'phone scam'.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 49 tahun, semalam.
Katanya, mangsa memaklumkan menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa sebagai pegawai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) Putrajaya pada 20 April lalu.
Beliau berkata, suspek kemudian mendakwa maklumat peribadi mangsa disalahgunakan dan terbabit dalam aktiviti penipuan satu pelaburan.










