SIBU: Dua individu maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan pacuan empat roda di Jalan Dudong, Kanowit-Julau, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 4.10 petang itu, mangsa, Julaihi Raduan, 52, dan Marliza Salleh, 49, tersepit di dalam kenderaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.15 petang sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya bersama sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian.
"Dua mangsa yang tersepit dalam kereta berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan.
"Kedua-dua mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.








