MELAKA: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mula dilihat sebagai antara medan 'panas' yang bakal mencuri perhatian susulan persaingan dijangka sengit serta percaturan calon yang masih belum dimuktamadkan.
Antara kawasan yang semakin menjadi tumpuan ialah empat kerusi DUN dalam Parlimen Tangga Batu, khususnya Sungai Udang dan Paya Rumput apabila spekulasi pertukaran calon serta kemungkinan penjajaran baharu antara parti mencetuskan pelbagai tanda tanya menjelang hari penamaan calon.
Percaturan calon bagi empat kerusi itu semakin menjadi perhatian menjelang PRN Melaka dengan Sungai Udang dilihat menjadi titik panas susulan spekulasi pertukaran kerusi EXCO Kanan Melaka, Datuk Rais Yasin.








