KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menambah baik keupayaan aplikasi navigasi tempatan, TuJu, susulan aduan pengguna berhubung prestasinya untuk digunakan sebagai alternatif kepada Waze.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata fungsi aplikasi itu perlu diperkukuh, dengan usaha sedang dilaksanakan untuk memperluas perkhidmatannya melangkaui pemantauan lebuh raya bagi menyediakan maklumat trafik yang lebih menyeluruh.
"Fungsi aplikasi itu sedang diperluas, merangkumi maklumat aliran trafik di jalan raya yang menghala ke lebuh raya untuk memudahkan pengguna.
"Saya juga bersetuju dengan perkara yang dibangkitkan, iaitu ramai yang menyatakan perkhidmatan ini perlu diperkukuh lagi. Itulah perkara yang dalam perhatian kita," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.










