Kuching: Punca kejadian pelajar lelaki menyerang seorang guru wanita di sebuah sekolah swasta, di sini, akan didedahkan, Selasa depan.
Bahagian Hal Ehwal Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak berkata, satu sidang media berkaitan kejadian itu akan diadakan pada hari terbabit selepas siasatan selesai dijalankan.
Menurutnya, ketika ini kes masih dalam siasatan dan pasukan penyiasat sedang menjalankan pelbagai tindakan termasuk mendapatkan serta mengesahkan fakta sahih bagi memastikan setiap maklumat diperoleh adalah tepat.
"Kami memohon kerjasama semua pihak untuk memberikan ruang kepada pasukan penyiasat menjalankan siasatan dengan teliti," katanya dalam kenyataan, hari ini.










