KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperuntukkan hampir RM5 juta bagi Projek Pengindahan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek dalam usaha meningkatkan keselesaan pengguna serta menjadikan kawasan berkenaan lebih menarik dan mesra pengunjung.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek berkenaan bukan sekadar bertujuan mencantikkan stesen, sebaliknya perlu memberi manfaat nyata dari aspek keselesaan, keselamatan dan kemudahan kepada pengguna.

“Saya mahu penambahbaikan ini bukan sekadar menjadikan stesen lebih cantik, tetapi benar-benar meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kemudahan kepada pengguna.

“Setiap ringgit yang dibelanjakan mesti memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Pengindahan Stesen LRT Masjid Jamek di sini, hari ini.