KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua tahun tanpa single solo baharu, penyanyi Black Hanifah mempertaruhkan Terlerai Sudah untuk mengulangi impak Hijab Rindu yang masih mendapat sambutan hangat, sekali gus membuktikan dirinya belum ketandusan karya berkualiti.

Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah, 39, berkata pelancaran single terbaharunya itu ditangguhkan hampir setahun selepas rakaman dilakukan pada November tahun lalu bagi mencari waktu sesuai, selain memberi ruang kepada populariti Hijab Rindu.

"Saya menunggu hampir setahun untuk mengeluarkan lagu ini. Kami mahu melancarkannya lebih awal, tetapi menunggu tarikh sesuai kerana Hijab Rindu masih mendapat sambutan.

"Kami meneliti banyak lagu dan menolak tujuh daripadanya sebelum Terlerai Sudah menjadi pilihan saya bersama pasukan Nova Music," katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran single itu di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, baru-baru ini.