Paris: Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengumumkan bahawa pihaknya membatalkan hukuman penggantungan empat tahun terhadap atlet lumba jalan kaki Jepun, Koki Ikeda yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo.
Ikeda digantung pada 2025 selepas ketidaknormalan dikesan dalam Pasport Biologi Atlet (ABP) miliknya yang menunjukkan kemungkinan manipulasi darah.
Ikeda mencabar keputusan itu dan CAS, badan kehakiman sukan tertinggi dunia, memaklumkan panelnya "mendapati penjelasan alternatif berdasarkan faktor fisiologi yang dikemukakan Ikeda adalah munasabah".
"Panel berpuas hati bahawa atlet berkenaan mengemukakan beberapa faktor yang dapat menjelaskan ketidaknormalan itu, termasuk keadaan kesihatan peribadi," menurut CAS dalam satu kenyataan.








