SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan kompetensi dan kepakaran profesionalnya apabila seramai 14 pegawai menerima pengiktirafan bergraduasi pada Majlis Konvokesyen Asia e University (AeU) di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini pada Sabtu.Mengetuai senarai penerima ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman dan Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin yang masing-masing dianugerahkan Ijazah Sarjana Pengurusan.Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Dr Karunanithy Y Subbiah dan Pegawai Integriti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dr Wong Chiew Hoong pula menerima Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan.Turut menerima pengiktirafan ialah Pengarah SPRM Putrajaya, Datuk Mohd Shahril Che Saad dan Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Samsul Salip yang masing-masing berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan.Sementara itu, Pengarah Bahagian Forensik Teknologi SPRM, Wan Zulkifli Wan Jusoh turut meraikan kejayaan apabila menerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan Komunikasi dengan Kepujian bersama tujuh lagi pegawai SPRM.SPRM dalam kenyataan memaklumkan, pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen berterusan warga SPRM dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan, kompetensi dan kepakaran profesional."Ini bagi mendukung pelaksanaan tugas dengan lebih berkesan."Penguasaan ilmu dan peningkatan keupayaan profesional juga penting dalam memperkukuh integriti, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta memantapkan tadbir urus dalam usaha membanteras rasuah dan menyokong agenda integriti negara," katanya.Turut hadir, Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM, Datuk Mohammad Zamri Zainul Abidin.