Lahad Datu: Gejala menghidu gam dalam kalangan komuniti Pala'u termasuk kanak-kanak menjadi antara isu yang memerlukan tindakan lebih menyeluruh membabitkan aspek keselamatan, kebajikan, pendidikan dan pemulihan.
Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Datuk Victor Sanjos berkata, ESSCOM memberi tumpuan kepada isu keselamatan, penyelarasan penguatkuasaan dan pencegahan, manakala aspek rawatan serta pemulihan dilaksanakan agensi berkaitan.
Katanya, antara langkah dilaksanakan termasuk operasi bersepadu dan rondaan keselamatan selain sesi libat urus komuniti dengan pemimpin komuniti itu bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan, undang-undang dan tanggungjawab masyarakat di Zon Selamat Timur Sabah (ESSzone).






