syazrina@hmetro.com.my

ACAP kali berlaku perdebatan di media sosial berkenaan peranan lelaki dalam rumah tangga, terutama apabila istilah 'provider' digunakan sebagai kayu ukur kemampuan seorang lelaki dalam memenuhi keperluan pasangan dan keluarga.

Dalam sesebuah keluarga, lelaki yang dianggap sebagai 'provider' (pemberi nafkah) sering dikaitkan dengan kemampuan menyediakan wang, membayar bil dan memastikan keperluan rumah tangga mencukupi, namun peranan itu sebenarnya boleh dilihat dalam skop yang lebih luas.

Menurut portal The Good Men Project dalam artikel 'Being a Husband: The Loving Provider,' menjadi penyedia nafkah bukan sekadar memberikan sokongan kewangan, sebaliknya merangkumi pendekatan menyeluruh dalam menjaga keluarga daripada aspek fizikal, emosi, mental dan kerohanian, sekali gus melihat peranan itu bukan hanya melalui apa yang mampu disediakan dalam bentuk material.