Ankara: Pelakon Angelina Jolie, yang pernah berkhidmat sebagai utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengetengahkan skala kemusnahan di Semenanjung Gaza dengan berkongsi imej satelit sebelum dan selepas yang menunjukkan kerosakan meluas akibat genosid Israel di wilayah Palestin itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Anda kini boleh membuka Google Earth dan melihat apa yang telah dilakukan terhadap Gaza," tulis Jolie menerusi Instagram pada Sabtu, bersama imej yang membandingkan beberapa kawasan di Gaza sebelum perang dengan keadaannya pada musim panas tahun ini.

Imej berkenaan menunjukkan kawasan berhampiran Sekolah Al-Qadisiyah di bandar Rafah, Khan Younis di selatan Gaza dan Jalan Omar Mukhtar di Bandar Gaza, dengan sebahagian besar kawasan bandar yang sebelum ini padat kini musnah.