Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya (UM), pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi, 64, mendedahkan dia mendapat pekerjaan sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat perkapalan.

Bagaimanapun, kata graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi itu, Aznil atau lebih mesra dipanggil Pak Nil turut berjinak-jinak sebagai model iklan secara sambilan ketika masih berkhidmat dengan syarikat perkapalan berkenaan.

"Pembabitan saya sebagai model iklan berlaku secara kebetulan bila dihampiri seorang pencari bakat di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

"Pada mulanya, saya tidak yakin dan berasa rendah diri kerana rata-rata model iklan komersil pada zaman itu berwajah kacukan atau Pan-Asian," katanya.