Apabila menelusuri fasa keibubapaan hari ini, kebanyakan ibu bapa generasi milenial kini berada dalam fasa menguruskan anak yang masih di peringkat sekolah rendah.
Dalam fasa perkembangan yang amat kritikal ini, kesedaran terhadap kepentingan pendidikan semakin berkembang segar dalam kalangan masyarakat secara keseluruhannya.
Hasrat untuk melihat anak berjaya dalam pelajaran bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia cita-cita sejagat setiap generasi ibu bapa sejak dahulu. Cuma pada hari ini, pendekatan dan kaedah penglibatan ibu bapa dalam proses pembelajaran anak dilihat semakin praktikal dan menyeluruh selari dengan perubahan zaman serta sistem pendidikan semasa.
Tiba sahaja Oktober dan November, jadual harian sesebuah keluarga biasanya menjadi sangat padat apabila musim peperiksaan tiba secara beruntun-untun. Bagi anak di sekolah rendah, tempoh dua bulan ini menyaksikan mereka perlu menghadapi pelbagai jenis pentaksiran dan ujian kelayakan. Antaranya Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) untuk menilai penguasaan mata pelajaran sekolah kebangsaan, serta Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) buat murid sekolah agama.









